rss
twitter
    Jom Ikut Saya di Twitter :)

Tuesday, 23 February 2010

Muhammad s.a.w

La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah.



Satu ucapan syahadah. Ucapan paling tinggi dalam ‘kasta’ iman seorang Muslim. Masakan tidak, dengan ucapan ini sahaja boleh membezakan seorang itu Muslim, atau kafir. Ke syurga atau ke neraka pengakhirannya.

Ucapan yang mengungguli ‘carta’ Rukun Islam.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud,

“Iman terbahagi kepada tujuh puluh cabang. Yang paling tinggi ialah ucapan syahadah (lailahailallah, muhammadur rasulullah) dan yang paling rendah ialah membuang gangguan di jalanan/laluan orang.”

Ucapan syahadah ini terdiri dari dua bahagian penting. Yang pertama mengakui keesaan Allah s.w.t, dan yang kedua ialah mengakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

Nampak kan betapa tinggi kedudukan Nabi kita, Muhammad s.a.w. Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas baginda dan keluarga baginda.

“Barangsiapa yang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah.” (Surah An-Nisa : Ayat 80)

Sememangnya kekasih Allah bernama Muhammad s.a.w ini merupakan seorang insan yang sangat mulia dari seluruh manusia, dan seluruh ciptaan Yang Maha Esa.

Ada satu hadis nabi yang bermaksud;

“Sebelum kejadian (nabi) Adam, seluruh pintu syurga telah pon ditulis dengan nama Muhammad. Ketika Adam diciptakan dan dimasukkan ke syurga, Adam telah melihat nama Muhammad lalu bertanya kepada Rabb. ‘Siapakah Muhammad ini?’. Lalu Allah s.w.t menjawab, ‘Muhammad merupakan insan terakhir di kalangan nabi dan rasul.”

Subahanallah. Begitu tinggi taraf dan darjat Nabi Muhammad s.a.w.

Bila difikir balik, betapa beruntungnya kita dilahirkan sebagai seorang Islam, dan sebagai umat Muhammad pulak tu. Alhamdulillah.

Dilahirkan dalam Islam, dan umat Nabi Muhammad s.a.w merupakan kurniaan, nikmat Allah yang paling, paling berharga kepada kita. Bayangkan kalau kita tidak dilahirkan dalam Islam, bolehkah kita nak ‘berkongsi’ kemuliaan darjat nabi nih? Bolehkah kita dapat ‘percikan’ kasih sayang nabi?

Betapa sayangnya Nabi Muhammad s.a.w kepada umatnya terbukti sehingga ke saat-saat akhir sebelum baginda wafat.

“Ummati, ummati (Umatku, umatku).” Kata baginda.

Betapa sayang dan caring nya baginda pada umatnya, sampai baginda sanggup berulang-ulang kali memohon pada Allah supaya mengurangkan jumlah waktu solat dari 50 sehingga tinggal 5 sahaja (walaupun baginda sangat malu untuk meminta pengurangan tu).

Kalau baginda hanya fikirkan diri sendiri, jumlah 50 waktu solat tu, takde hal la. Senang je pada baginda. Tapi, bila nabi Musa mengingatkan bahawa;

“Umat mu takkan sanggup.”

Maka, nabi kita yang mulia ni mohon pengurangan tersebut. Alangkah baik, dan sayangnya nabi pada umatnya.

Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, zaman sekarang nih, jangan kata nak ikut suruhan baginda, nak selawat pada nabi pon dah susah sangat. Astaghfirullah al azim.


Sejarah Ringkas Kehidupan Baginda

Muhammad (s.a.w) dilahirkan di Mekah pada 12 Rabiul Awal, tahun ke 53 sebelum hijrah. Tahun yang dikenali sebagai Tahun Gajah, merujuk kepada serangan tentera bergajah Abrahah ke atas Kaabah yang berakhir dengan tragedi dahsyat.

Sebagaimana diceritakan di dalam Surah Al-Fiil (Ayat 1 hingga 5)

“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentara bergajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka'bah) itu sia-sia? dan Dia mengirimkan kapada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar, lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).”

Nabi Muhammad adalah dari golongan Bani Hasyim, iaitu satu golongan yang paling berpengaruh di kalangan orang-orang Quraisy. Selepas dilahirkan, Muhammad disusukan oleh Halimatus Saadiah sehingga baginda berusia 4 tahun. Bapa baginda, Abdullah meninggal sebelum nabi dilahirkan.

** Ini sememangnya tradisi orang-orang Arab pada ketika itu untuk memberi anak mereka pada keluarga lain untuk disusukan. **

Ibu baginda, Siti Aminah meninggal dunia ketika usia nabi 6 tahun. Abdul Muttalib, datuk baginda, mengambil alih tanggung jawab menjaga nabi sejak dari itu. Dua tahun kemudian, datuknya yang tersayang pula meninggal dunia. Selepas dari itu, bapa saudara nabi, Abu Talib pula menjaga baginda.

Zaman remaja baginda menampakkan Muhammad (s.a.w) sebagai seorang yang terhormat. Baginda tidak pernah berbohong, mencuri, bercakap yang sia-sia, menghadiri majlis hiburan, minum arak (yang pada zaman baginda adalah satu perkara biasa) serta maksiat-maksiat yang lain. Sesungguhnya baginda terpelihara dari sebarang maksiat sejak dari baginda masih kanak-kanak lagi.

Baginda merupakan seorang yang lebih banyak diam, dan sentiasa bersederhana. Baginda juga seorang yang bijak, dan digelar Al-Amin.

Ini disebabkan isu perletakan hajarul aswad di dalam Kaabah. Masing-masing dari bani-bani terhormat di kalangan Quraisy, ingin meletakkan batu suci tersebut (yang beralih dari tempat asalnya) sehingga menimbulkan pertelingkahan. Oleh kerana tidak menemui jalan penyelesaian, seorang tua di kalangan mereka mencadangkan untuk tinggalkan masalah itu sehingga keesokan hari, dan menanyakan penyelesaian masalah itu kepada sesiapa yang pertama sekali memasuki Kaabah esok harinya.

Dengan kekuasaan Allah, esok hari, Muhammad (s.a.w), seorang anak muda dari Bani Hasyim merupakan orang pertama yang masuk Kaabah. Maka mereka merujuk kepada baginda tentang permasalahan itu.

Dengan kebijaksanaan baginda, masalah tersebut diselesaikan dengan mudah, yakni meletakkan batu itu di atas kain dan dipegang setiap penjuru oleh ketua setiap bani, dan batu itu dinaikkan (dan diletakkan) ke tempat asalnya oleh baginda sendiri. Semua orang kagum dengan nabi pada masa tu, dan baginda digelar Al-Amin.


Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w adalah sebuah kehidupan yang tidak ada bezanya daripada manusia biasa. Walaupun baginda seorang nabi dan mempunyai darjat yang paling tinggi di sisi Allah, namun baginda sangat merendah diri, bersederhana, dan sangat penyabar.


Kesabaran Baginda

Terlalu banyak kisah yang menunjukkan sifat baginda yang sangat mulia nih. Tapi antara kisah yang paling saya ingat ialah ketika baginda dihina seteruk-teruknya di Taif.

Ketika tu, Rasulullah s.a.w yang sedang menyelusuri duah buah bukit di Taif telah dilemparkan batu dan dibaling dengan barang-barang keras oleh penduduk-penduduk tempatan. Namun baginda tetap sabar. Sehingga turun Jibril meng’offer’kan bantuan.

“Jika kau mahu aku balikkan bukit ini dan musnahkan penduduk Taif sebagaimana umat nabi sebelum ni yang dimusnahkan oleh Allah, akan aku lakukan sekarang juga!” Begitu lebih kurang offer Jibril.

Tapi, Rasulullah s.a.w yang sangat, sangat penyabar nih menolak dengan baik tawaran Jibril tersebut.

“Aku akan bawa mereka kenal Islam.”

MasyaAllah.


Ketegasan Dalam Islam

Saat nabi ditawarkan dengan harta benda dan wanita oleh golongan kafir Quraisy, supaya menghentikan ajaran Islam yang dibawa dan tidak lagi mengejek tuhan-tuhan mereka, nabi menolak.

Pernah golongan kafir Quraisy ini menawarkan untuk ‘bertolak-ansur’ dalam urusan agama, Rasulullah tetap bertegas.

“Bagaimana kalau Muhammad, tahun ini kami menyembah Allah, dan tahun depan kamu pula menyembah Tuhan kami?”

Namun, nabi menjawab berdasarkan wahyu Allah;

“Katakanlah: "Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku." (Surah Al-Kafirun : Ayat 1 hingga 6)


Kehidupan Rasulullah s.a.w juga tidak sunyi dari ujian dan dugaan. Baginda juga tidak lepas dari rasa sedih. Tapi, Nabi s.a.w sentiasa mengingatkan umatnya supaya bersabar.

“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah : Ayat 153)

Dugaan demi dugaan, ujian dan cabaran yang berselang-seli merisaukan bapa saudara nabi, Abu Talib (bapa kepada Saidina Ali), beliau meminta baginda menghentikan segala ceramah dan ajakan baginda.

Namun, Rasulullah dengan ikhlas hatinya berkata;

“Aku bersumpah dengan nama Allah, wahai bapa saudaraku, jika sekiranya matahari diletak di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku untuk menghentikn aku mengajak kepada Islam, aku tidak akan mengalah sehingga Allah membinasakanku atau aku binasa kerana menahannya.”


Sederhana

Walaupon kehidupan baginda tidak mewah, namun baginda tidak pernah merungut. Baginda tidak pernah menginginkan kemewahan.

Isteri baginda, Saidatina Aisyah pernah menyatakan;

“Rasulullah tidur di atas pelepah kurma yang kering.”

Bayangkan. Seorang nabi. Yang kalau diminta kemewahan, for sure Allah bagi straight away. Tapi, kenapa nabi sanggup hidup sebegitu?

Senang saja. Jawapannya kerana, kemewahan akan melalaikan. Macam yang kita dapat lihat sekarang la, masa sebelum ‘kaya’, solat tak tinggal, pegi surau tiap subuh.

Tapi bila dah kaya? Surau dah tak jenguk, solat pon dah jarang. Lupa pada Allah. Lupa pada tanggung jawab.


Merendah Diri

Di samping tuntutan baginda sebagai seorang Nabi, al-Muallim, dan juga seorang pemimpin, Muhammad s.a.w juga melakukan tugas-tugas harian seperti menggembala kambing, menjahit sendiri bajunya yang koyak, membaiki kasutnya, menolong isterinya dengan kerja-kerja rumah dan melawat mereka yang sakit. Ini menunjukkan betapa nabi seorang yang sangat merendah diri dan bersederhana.


Bersyukur

Diriwayatkan dari Aisyah yang menceritakan pada suatu malam, Aisyah bangun dari tidur dan melihat baginda solat sunat sehingga melepuh tumit kaki baginda. Aisyah bertanya;

“Ya Rasulullah, engkau telah dijanjikan syurga, dan kalau kau minta, segala isi bumi dan langit dapat kau peroleh, tapi mengapa engkau masih bersusah-payah bersolat sunat malam begini?”

Apa jawapan nabi?

“Aku malu pada tuhanku yang menciptakan aku. Atas segala kurniaannya padaku, adalah wajar untukku mensyukuri nikmatNya padaku.”


Subhanallah. Seorang nabi dan rasul. Seorang idola. Selawat dan salam ke atas baginda dan ahli keluarga baginda.


------------------------------------------------------

yus cakap :  Muhammad s.a.w kekasih Allah, rindu bertemu denganmu, syafaatmu kami dambakan.
Bookmark this post:
StumpleUpon DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google Twitter FaceBook

2 comments:

  1. menarikkan? begitu dia memikirkan tentang umatnya sehingga doa selepas azan pun disuruh kita doakan dia dengan darjat alwasilah walhal darjat itu memang haknya. supaya dia mempunyai alasan untuk mensyafaat umatnya nanti. :)

    apa pun bagus penulisan anda

    ReplyDelete
  2. yus....kamu terlalu banyak idea yang menarik dlm mengepost kt blog...i like....


    Nabi Muhammad begitu sayang umat ye sehingga disaat menghadap maut pn....masih ingat umat ye...sayu ye rase

    ReplyDelete